DOHA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini meraikan petugas media dari Malaysia yang membuat liputan Piala Asia 2023, juga merupakan penampilan bersejarah skuad Harimau Malaya bimbingan ketua jurulatih Kim Pan Gon.

Hamidin meluangkan masa kira-kira satu setengah jam menikmati makan tengah hari dan mendengar pengalaman petugas media khususnya mereka yang berpeluang membuat liputan perlawanan pembukaan membabitkan tuan rumah Qatar dan Lubnan di Stadium Lusail, semalam.

Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih kepada media Malaysia atas sokongan dan komitmen dalam memberikan liputan terbaik mengenai persediaan pasukan negara yang akan memulakan saingan pada Isnin ini (16 Jan, 1.30 am waktu Malaysia).

Malaysia akan membuka saingan Kumpulan E bertemu Jordan di Stadium Al Janoub yang merupakan satu daripada venue Piala Dunia 2022.

Anak buah Pan Gon seterusnya akan berdepan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada 20 Jan sebelum melengkapkan saingan kumpulan menentang juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Jan.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.

Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.

-- BERNAMA